PROJEK InSPIRE

Projek InSPIRE merupakan projek penyelidikan dan pembangunan pendidikan untuk pelajar-pelajar luar bandar di Sabah yang telah dilaksanakan bermula November 1987. Projek ini telah dijalankan oleh pensyarah-pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM dan dibiayai sepenuhnya oleh pihak Yayasan Sabah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.5 juta dengan bantuan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Antarabangsa, Kanada (IDRC).

Objektif utama Projek InSPIRE adalah untuk mengembangkan dan mempertingkatkan lagi sistem pengajaran yang dapat memperbaiki mutu proses pengajaran-pembelajaran di sekolah rendah luar Bandar di Malaysia. ‘InSPIRE’ adalah nama ringkas dari ‘Integrated System of Programmed Instruction for the Rural Environment’, yang bermaksud ‘Sistem Paduan Pengajaran Terancang untuk Luar Bandar’. Sistem memberi penekanan kepada tiga pendekatan pengajaran yang berkesan iaitu Pengajaran Paduan Terancang (PPT), Pengajaran melalui Rakan Sebaya (PRS) dan pengajaran melalui Modul. Selain daripada itu, Projek InSPIRE juga telah menghasilkan beberapa alat ukur untuk menilai prestasi murid-murid dari segi pembelajaran kognitif dan afektif.

            Sejak penubuhannya, Projek InSPIRE terkenal dengan bahan-bahan pengajaran-pembelajaran yang dihasilkan. Berikutan dengan itu, ia telah menerima tawaran untuk menjalankan pelbagai projek penyelidikan dan perundingan bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan di peringkat nasional. Antaranya ialah Projek KBSR-Program Pemulihan Pengkayaan (1993-1997), Projek InSPIRE Sabah Fasa III (1990 -1994). Projek InSPIRE juga telah dilantik oleh beberapa agensi antarabangsa untuk menjalankan kajian-kajian penyelidikan dan penilaian secara komisyen. Di antara agensi-agensi tersebut termasuklah UNESCO, Van Leer Foundation, IDRC, SEARRAG, Commonwealth Secretariat dan Bank Dunia.

            Sekali lagi Yayasan Sabah telah memberi kepercayaan kepada PPIP untuk melaksanakan Projek InSPIRE (II) dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM 2.5 juta bagi tempoh (2007-2012) bagi membantu mengatasi masalah prestasi murid di kawasan luar bandar dalam peperiksaan berpusat yang jauh ketinggalan berbanding dengan sekolah dalam kawasan bandar merupakan perkara yang mendapat perhatian setiap pihak yang berkepentingan sejak sekian lama. Lebih daripada itu, keputusan peperiksaan berkenaan juga menggambarkan prestasi murid luar bandar, khususnya di Sabah yang rendah atau tidak meningkat dalam semua mata pelajaran yang diambil. Prestasi yang diperolehi juga menyebabkan sekolah-sekolah yang terlibat diletakkan dalam kategori 0 peratus, malah menunjukkan kebanyakan murid masih belum menguasai kemahiran asas. Lebih buruk lagi, mereka juga masih belum menunjukkan tahap penguasaan yang memuaskan dalam kesemua mata pelajaran yang diajarkan atau dinilai dalam peperiksaan berpusat.

            Projek InSPIRE II telah mengenal pasti empat mata pelajaran utama sebagai fokus, iaitu :
                                  i.                   Sains
                                ii.                   Matematik
                              iii.                   Bahasa Malaysia
                              iv.                   Bahasa Inggeris  

Selain itu tiga lagi aspek lain yang difikirkan mempunyai sumbangan yang penting dalam menentukan prestasi murid turut dikaji iaitu :
                                  i.                   Pengurusan sekolah
                                ii.                   Pengurusan kokurikulum
                              iii.                   Perkhidmatan bimbingan

No comments:

Post a Comment