UTUSAN MALAYSIA

UTUSAN MALAYSIA (15 APRIL 2010)



Projek Inspire II: KYS peruntuk RM2.5j

KOTA KINABALU 14 April - Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) memperuntukkan RM2.5 juta bagi menjayakan Projek Inspire II bertujuan mengatasi masalah pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah berprestasi rendah di kawasan luar bandar di negeri ini.

Pengarahnya, Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul berkata, projek tersebut adalah kesinambungan Projek Inspire I yang diperkenalkan pada 1977 hingga 1996 dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Pelajaran Sabah.

 
Datu Khalil datu Jamalul (tengah) menyampaikan kit modul Pengurusan sekolah kepada salah seorang guru besar selepas Pelancaran Projek InSPIRE II di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, semalam.
   
Menurutnya, kajian dan pemantauan yang dilakukan terhadap pencapaian Projek Inspire I menunjukkan peningkatan yang amat positif di kalangan murid dan sekolah yang menjadi kumpulan sasar projek itu.
"Berpandukan kejayaan ini, KYS menghidupkan Projek Inspire II dengan kerjasama USM dan Jabatan Pelajaran negeri. Saya percaya ia dapat memberi impak positif dalam meningkatkan kecemerlangan pencapaian pendidikan murid di luar bandar," katanya.  Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Projek Inspire II di Menara Tun Mustapha di sini hari ini.  Hadir sama Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM merangkap Ketua Projek Inspire II, Profesor Dr. Abdul Rashid Mohamed.
Projek Inspire atau Sistem Integrasi Arahan Terancang Untuk Persekitaran Luar Bandar adalah projek penyelidikan yang membina dan menguji pendekatan tertentu demi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah rendah di luar bandar Sabah.
Datu Khalil berkata, projek itu juga melibatkan pembinaan modul pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah rendah di Sabah yang mempunyai prestasi kurang memberangsangkan.  Katanya, pada masa ini projek itu dilaksanakan di enam buah sekolah kebangsaan (SK) yang mempunyai prestasi gred rendah seperti SK Balimbang dan SK Kubang Pinang di Semporna, SK Ulu Sapi dan SK Pekan Tongod di Telupid dan SK Kampung Bahagia serta SK Tetagas di Nabawan.
Sementara itu Dr. Abdul Rashid berkata, Projek Inspire II akan memberi tumpuan kepada empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.  ''Matlamat komponen mata pelajaran utama ini adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid dalam meningkatkan pencapaian mereka dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).  "Ia juga adalah kajian berdasarkan tahap pencapaian murid di kalangan sekolah yang mempunyai pencapaian rendah di lokasi pedalaman termasuk di kaki bukit, pulau dan sekitar sungai," katanya.

No comments:

Post a Comment