BERITA USM (7 April 2010)
PULAU PINANG, 7 April 2010 – Sekumpulan penyelidik Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta alat bantu mengajar yang berupaya memenuhi keperluan murid lemah dalam penguasaan matapelajaran sains.
Alat berkenaan yang dikenali sebagai ‘Kit Pembelajaran Sains Untuk Sekolah Rendah’ dicipta khusus bagi memenuhi keperluan golongan murid di sekolah-sekolah luar bandar termasuk masyarakat orang asli untuk meningkatkan minat matapelajaran dan memahami sains.
Pun begitu, ia juga boleh digunakan oleh murid pintar sebagai bahan tambahan untuk mereka menambahkan kemahiran dan mempertingkatkan pemahaman terhadap subjek yang disifatkan sebagai agak sukar dalam kalangan murid-murid sekolah tesebut.
Ketua penyelidik, Dr. Hashimah Mohd Yunus berkata, kit khas tersebut dihasilkan melalui kajian pasukannya bermula tahun lepas di bawah pembiayaan Yayasan Sabah berjumlah RM2.7 juga meliputi dua peringkat kajian iaitu Kajian Keperluan dan Pembangunan Produk.
Katanya, idea awal penghasilan kit tersebut adalah untuk memenuhi keperluan murid sekolah rendah di luar bandar yang agak ketinggalan dalam memahami dan menguasai subjek sains ekoran kekurangan peralatan, kemudahan makmal dan sebagainya.
Murid di luar bandar sukar untuk mempelajari sains kerana mereka tiada pendedahan dari aspek pembelajaran hands-on serta ketiadaan kemudahan tambahan untuk membantu mereka meminati subjek tersebut dalam kelas.
“Justeru, kita cipta satu kit mudah alih yang berupaya menarik minat mereka untuk mengikuti subjek berkenaan menggunakan barang-barang yang biasa dilihat serta dekat dengan diri dan persekitaran mereka ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media memperkenalkan produk tersebut di USM, di sini hari ini. Turut hadir ialah Dekan PPIP, Prof. Abdul Rashid Mohamed dan penyelidik bersama, Dr. Nooraida Yacob.
Hashimah turut berkata, setiap kit mempunyai empat komponen iaitu panduan guru, aktiviti murid, penilaian murid serta kit sains dan setiap komponen adalah berhubung kait antara satu sama lain.
“Berbeza dengan alat bantu mengajar sedia ada dalam pasaran yang perlu diperolehi secara berasingan mengikut komponen, kit ini sangat ringkas dan berkonsepkan semua dalam satu, selain turut memenuhi keperluan istimewa kanak-kanak yang lemah,” jelasnya.
Tambah beliau, penghasilan kit mengikut Gagne’s Learning hierachy turut membolehkan hasil pembelajaran yang spesifik mengikut aras kognitif iaitu dari aras kognitif paling rendah kepada tinggi.
Mengulas silibus yang terkandung dalam kit, beliau berkata, “Kita tidak lari dari silibus asal yang digunapakai oleh Kementerian Pelajaran terhadap semua sekolah di negara ini.
“Ia turut memenuhi keperluan lima tema utama yang dikhususkan dalam silibus sains iaitu menyiasat alam kehidupan, menyiasat daya dan tenaga, menyiasat alam bahan, menyiasat bumi dan alam semesta serta menyiasat dunia teknologi.
Sementera itu, Abdul Rashid pula menegaskan, barisan penyelidik terliba akan mula mendemonstrasikan kit tersebut di sekolah-sekolah pendalaman Sabah bermula Jun depan sebelum ia dikormesialkan dengan lebih luas.
Katanya, kit berkenaan yang dianggarkan bernilai RM696 setiap satu dibangunkan dengan kerjasama penuh Yayasan Sabah dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sabah, justeru ia akan mula diperkenalkan di Negeri Bawah Bayu itu.
“Perkembangan masa depan bergantung kepada pihak berkenaan (Yayasan Sabah, dan JPN). Namun sehingga kini kedua-dua pihak berbesar hati untuk tidak menghadkan penggunaan kit tesebut kerana ia bersifat universal dan boleh digunapakai oleh semua,” katanya.
No comments:
Post a Comment